KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) perlu memberi penjelasan terperinci mengenai inisiatif Pengambilan Khas Guru Sarawak kepada Kerajaan Sarawak.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, ini kerana isu inisiatif Pengambilan Khas Guru Sarawak yang dibuka mulai 1 hingga 23 Ogos lalu sedang panas dan viral dikritik oleh rakyat Sarawak sejak akhir-akhir ini.
“Inisiatif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan SPP pada mulanya telah memberi khabar gembira buat rakyat Sarawak kerana pengambilan guru khas ini akan mengambil guru-guru yang berasal dari Sarawak sahaja,” katanya semasa menyertai perbahasan Belanjawan 2025 di Parlimen di sini, hari ini.
Ahmad Johnie berkata, berikutan itu Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menyatakan kekecewaannya terhadap keputusan SPP yang membuka Pengambilan Khas Guru Sarawak kepada pemohon dari seluruh negara.
“Menurut beliau (Roland Sagah), SPP telah tidak mengotakan janji, malah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluahkan rasa kekecewaan atas isu yang berbangkit ini,” katanya.
Di samping itu, Ahmad Johnie turut membangkitkan masalah ‘guru duka lara’ yang merujuk kepada situasi di mana seorang guru tinggal atau bekerja di tempat jauh dari pasangannya.
Katanya, kisah sedih dan duka dari guru ini sudah banyak didengar seperti penceraian, kemurungan, tekanan emosi, krisis rumahtangga yang terseksa dari segi mental dan fizikal.
“Oleh itu, saya memohon kepada Kementerian Pendidikan untuk mencari satu kaedah dan mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah guru duka lara ini supaya saban tahun jumlah mereka semakin berkurangan,” tambahnya.
Ahmad Johnie turut mencadangkan supaya KPM melaksanakan satu dasar untuk melantik guru-guru dalam kalangan anak-anak Sarawak berkhidmat di tempat sendiri.
Langkah ini sekali gus untuk mengatasi isu duka lara yang terpaksa memohon untuk berpindah di tempat sendiri.
