KUCHING: Peruntukan pembangunan sebanyak RM5.9 bilion kepada Sarawak dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini menunjukkan peningkatan berbanding sebelum ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, peruntukan itu meningkat berbanding belanjawan Kerajaan Persekutuan terdahulu.
“Ia suatu yang baik dan kita terima sahaja apa bajet (yang baik) dari Kerajaan Persekutuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pink Aerobik sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara dan Pagi Bebas Kenderaan di Padang Merdeka di sini, hari ini.
Sharifah Hasidah sehubungan itu menzahirkan tahniah kepada Kerajaan Madani dan Perdana Menteri atas belanjawan terbabit.
Selain itu, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus menyokong inisiatif untuk kesejahteraan masyarakat di negeri ini khasnya golongan wanita seperti Program Pink Aerobik.
Program itu merupakan sebahagian kempen sebulan Pink Ribbon semasa Bulan Kesedaran Kanser Payudara bertujuan menyebarkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Kerajaan Sarawak pimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa menyokong inisiatif seperti ini yang memberikan impak positif kepada penjagaan kesihatan masyarakat,” katanya.
Beliau juga menyarankan Pink Ribbon Support Group menjalin kerjasama dengan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan kanser payudara dan serviks.
