KUCHING: Kekuatan Sarawak yang membolehkannya berdiri teguh sebagai negeri contoh di Malaysia terletak pada semangat perpaduan dan sikap saling menghormati antara kaum.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan bahawa tradisi kunjung-mengunjung melalui rumah terbuka merupakan instrumen penting yang perlu dipelihara demi memastikan keharmonian berkekalan.
”Kekuatan perpaduan inilah yang perlu terus kita pelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Suasana di BCCK hari ini bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi manifestasi ‘Segulai Sejalai’ apabila ribuan rakyat daripada pelbagai latar belakang etnik dan agama berkumpul di bawah satu bumbung.
