KUCHING: Akses kepada Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) kini diperluas bagi memastikan lebih ramai individu menerima bantuan profesional dalam menangani masalah kesihatan mental.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, statistik terkini mencatatkan bahawa sejak Oktober 2021 hingga Disember 2025, lebih 156,000 klien mendapat sokongan daripada pusat berkenaan.
“Usaha ini amat penting untuk mencegah insiden tragik yang berpunca daripada tekanan emosi dalam institusi keluarga,” katanya ketika menghadiri Program Ihya Ramadan 2026/1447H anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Masjid Darul Hana.
Beliau menjelaskan, PSSS menyediakan pelbagai perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikologi yang direka khusus bagi membantu individu menghadapi tekanan mental sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Nancy menasihatkan orang ramai supaya tidak malu mendapatkan bantuan sekiranya mengalami tekanan emosi atau gangguan mental.
Menurutnya, setiap maklumat klien dijamin sulit dan dirahsiakan sepenuhnya.
