Daftar Kad Emas Kenyalang guna platform SarawakPass

KUCHING: Dasar Penjagaan Warga Emas akan disepadukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di bawah khidmat sosial, kesihatan, inovasi dan pembangunan sumber manusia.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dasar itu adalah untuk merealisasikan wawasan Premier Sarawak melahirkan warga emas yang berdaya tahan, penuh kasih sayang dan Sarawak yang mampan menjelang tahun 2030.

“Persiapan Sarawak bagi menjaga kebajikan warga emas akan menjadi tanggungjawab sosial dan moral,” katanya pada majlis penutupan Persidangan Antarabangsa Berkaitan Penuaan (SICA) 2025 di sini, hari ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nasar yang turut hadir pada majlis itu melancarkan permohonan Kad Emas Kenyalang (KGC) dalam platform SarawakPass.

Dengan sistem baharu itu, Fatimah berkata, warga emas berumur 60 dan ke atas boleh mendaftar dan mengaktifkan KGC mereka secara terus melalui SarawakPass tanpa perlu datang ke Pejabat Kebajikan.

Sejurus diaktifkan, warga emas akan menerima KGC serta merta tanpa perlu menunggu pemberian kad sebenarnya, katanya.