LUNDU: Dua projek pembangunan yang dibina di Kampung Kangka di sini, akan memberi manfaat kepada komuniti.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, projek tersebut ialah projek bina baharu titi Kampung Kangka yang diluluskan dengan peruntukan RM100,000 di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) l tahun 2023.
“Kedua, Projek Naik Taraf Bilik Gerakan JKKK Kampung Kangka yang akan dilaksanakan di bawah RTP tahun 2026 membabitkan peruntukan sebanyak RM150,000.
“Bagi menyokong usaha komuniti penduduk kampung di sini, saya mengumumkan peruntukan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dan program sebanyak RM5,000 bagi fasa satu tahun 2025,” katanya semasa berucap pada Program Khidmat Komuniti Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jelajah Kasih PSSS “Kamek Nengar, Kamek Nolong” di Rh Kangka, Lundu, hari ini.
Hampir 200 orang terlibat hari ini, termasuk 182 daripada kaum Iban dan 10 daripada kaum Melayu.
“Inilah semangat yang menguatkan perpaduan kita di Sarawak dan Malaysia. Usaha kecil seperti ini mampu memberi kesan besar suasana lebih ceria, komuniti lebih rapat, dan keselamatan lebih baik,” katanya.
Menurutnya, penganjuran program tersebut bukan sahaja menceriakan suasana sempena Gawai, tetapi juga menghidupkan Kembali semangat “Berserakup begulai sejalai” atau semangat untuk bersatu bersama melalui aktiviti gotong-royong dan keselamatan komuniti.
Sempena program ini, katanya, YKN turut membawa perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) secara bergerak satu usaha penting untuk memudahkan penduduk rumah panjang dapatkan sokongan psikososial secara terus dan selamat.
“Kita semua tahu, Sarawak ini luas. Ramai orang di kawasan pedalaman terpaksa pendam rasa sebab tidak cukup peluang atau kemudahan untuk dapatkan bantuan,” kata beliau.
