Gotong-royong kempen premis makanan bersih

SPAOH: Majlis Daerah Betong menganjurkan Kempen Premis Makanan Bersih Tahun 2025 di Gerai Bumiputera Spaoh.

Kempen disusuli aktiviti gotong-royong melibatkan penjaja, pengunjung serta pegawai Majlis Daerah Betong di kawasan gerai terbabit.

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu menegaskan bahawa usaha sebegini seharusnya dijadikan budaya berterusan dan amalan harian dalam kalangan peniaga.

“Premis makanan yang bersih bukan sahaja menjamin kepuasan pelanggan, malah membantu membangunkan ekonomi tempatan secara mampan,” katanya ketika merasmikan kempen itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan program ini sekali gus menggesa agar inisiatif seperti ini diteruskan demi kebaikan masyarakat.