KUCHING: GiatMara melahirkan ramai graduan tenaga mahir teknikal yang diserapkan bekerja dengan syarikat besar atau menjadi usahawan di Sarawak.
Ahli Lembaga Pengarah GiatMara, Che Rahim Daud berkata, antaranya pelatih bidang Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam yang berjaya diserap ke syarikat besar seperti Sarawak Energy Berhad.
Beliau turut menegaskan kadar kebolehpasaran graduan GiatMara kini mencapai 99.49 peratus bagi tahun 2024 dan bukti kukuh graduan mereka menyumbang secara efektif kepada pasaran kerja negara.
“Selain melahirkan tenaga mahir, GiatMara juga berjaya melahirkan ramai usahawan berjaya hasil program keusahawanan conversion yang mengubah kemahiran teknikal kepada bidang perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Graduasi GiatMara Malaysia Ke-38 Sidang Sembilan di Penview Convention Centre (PCC) Demak, di sini hari ini.
Che Rahim berkata antaranya, Ismail Hanizam Safri dari GiatMara Stampin yang kini memiliki perniagaan katering dan kafe dengan pendapatan kasar tahunan RM800,000.
“Sulaiman Ibrahim dari GiatMara Bandar Kuching yang mengusahakan bengkel automotif dengan pendapatan melebihi RM1 juta setahun,” tambahnya.
Beliau berkata, Zunaidah Zamain dari GiatMara Stampin yang mengusahakan produk sejuk beku berasaskan kelapa pula dengan pendapatan RM180,000 setahun.
“Setakat ini kita telah mengumpul 50 usahawan jutawan lepasan GiatMara yang kejayaan mereka didokumentasikan dalam buku 50 Permata Biru,” tambahnya dan akan menerbitkan Vol. 2 buku itu tidak lama lagi.
Pada majlis itu, seramai 1,006 graduan GiatMara diraikan atas kejayaan menamatkan latihan dengan seramai 424 graduan hadir secara bersemuka bagi menerima sijil kejayaan.
