Guna AI secara bertanggungjawab

KUCHING: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab menuntut pendidikan beretika.

Meskipun diakui kepentingannya sebagai kaedah yang membantu menghasilkan sumber pendidikan, namun AI juga berisiko disalah guna untuk menyebarkan ‘deepfake’, kandungan mengelirukan dan maklumat palsu secara automatik.

Dalam konteks ini, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menegaskan kepentingan untuk menggabungkan literasi media dan maklumat dalam perbincangan ketika memanfaatkan kuasa AI.

“Ini bermakna mengajar individu bukan sahaja untuk menggunakan alat ini, tetapi juga untuk memahami batasannya, risikonya dan potensi penyalahgunaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Global Media and Information Literacy Week & Dialogue 2024 yang diadakan secara hibrid hari ini.

Tambah beliau, budaya ketelusan dan kebertanggungjawaban perlu ditekan dalam kalangan mereka yang membangunkan dan menggunakan teknologi AI.

Beliau berkata, kebangkitan pencipta kandungan digital seperti YouTuber, influencer, podcaster dan wartawan bebas bertindak sebagai penjaga pintu maklumat baharu.
Golongan ini katanya, memiliki pengaruh besar di platform global yang menjangkau jutaan orang, khususnya generasi muda.

Hadir sama Pengerusi Pustaka Negeri Sarawak, Datuk Dr. Abang Abdul Rauf Abang Zen, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka, Japri Bujang Masli dan Pengarah UNESCO Multisectoral Jakarta, Maki Katsuno Hayashikawa.