KUCHING: Sarawak terus agresif membendung isu alam sekitar dengan memperkenal dua peraturan baharu di bawah Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peraturan ini bertujuan menangani peningkatan pelepasan gas rumah hijau serta memastikan alam sekitar terus dilindungi dan dipelihara.
Katanya, pertama, Peraturan Kelayakan dan Pendaftaran Juruaudit Luar Bertauliah 2024 bertujuan memastikan juruaudit yang bertanggungjawab terhadap laporan alam sekitar memiliki kelayakan dan mematuhi kod etika sedia ada.
Langkah ini katanya penting bagi memastikan syarikat-syarikat bertanggungjawab mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau di Sarawak.
“Dengan peraturan yang diperkenal Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) ini, kita dapat memastikan proses perlindungan alam sekitar disahkan dan dinilai oleh juruaudit yang berkelayakan,” ujarnya.
Beliau mengumumkan peraturan baharu tersebut semasa sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen dan Acara Majma di sini, semalam.
Peraturan kedua merupakan Peraturan Pembakaran dan Pelepasan Gas 2024 akan mengenakan kawalan ketat terhadap aktiviti pembakaran dan pelepasan gas, khususnya dalam sektor minyak dan gas.
Kawalan ini katanya, memerlukan kelulusan daripada NREB untuk memastikan pelepasan gas ke atmosfera dilakukan dengan terkawal, sekali gus mengurangkan pelepasan berbahaya.
“Dengan jumlah gas yang banyak seperti Bintulu, maka adalah penting untuk kita mengawal pembakaran bagi mengelakkan pelepasan haba dan pencemaran berlebihan,” katanya.
Katanya, dua peraturan baharu ini mencerminkan komitmen Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab.
Sebagai sokongan berterusan terhadap inisiatif alam sekitar, beliau turut mengumumkan geran sebanyak RM1.5 juta bagi 2025 untuk menubuhkan kelab-kelab alam sekitar di sekolah-sekolah seluruh Sarawak.
Inisiatif ini, yang diusulkan oleh Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam, bertujuan memupuk kesedaran alam sekitar dan menggerakkan kejayaan tenaga hijau di negeri ini.
Abang Johari turut menyerahkan replika cek untuk Program Pengambilan Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS), pelbagai syarikat komited untuk menyumbang kepada projek-projek alam sekitar di sekolah-sekolah.
Antara yang terlibat Press Metal (Bintulu) Sdn. Bhd. yang akan menyokong 20 sekolah di Kuching, Samarahan, Padawan dan Lundu dengan sumbangan sebanyak RM40,000; Trienekens (Sarawak) Sdn. Bhd. menyokong lapan sekolah di Kuching dan Betong dengan RM16,000; Chemsain Konsultants Sdn. Bhd. menyumbang RM8,000 bagi empat sekolah di Kuching, Dalat dan Daro; serta Thian Sheng Sdn. Bhd. yang menyumbang RM10,000 untuk lima sekolah di Kuching.
