Hadiah istimewa buat Sarawak, rakyat – Ahmad Johnie

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) yang diluluskan di Dewan Rakyat, pada hari ini merupakan hadiah istimewa bagi Kerajaan Sarawak dan rakyatnya sempena menyambut Hari Sarawak pada 22 Julai ini di Bintulu.

Kegembiraan itu dikongsi Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi sebaik sahaja RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 ke Dewan Rakyat, diluluskan pada hari ini.

Menurut Ahmad Johnie, kelulusan RUU ini bererti hak pemilikan Kerajaan Persekutuan ke atas Pelabuhan Bintulu telah berakhir dan Pelabuhan Bintulu selepas ini akan menjadi hak sepenuhnya Kerajaan Sarawak.

Segala pentadbiran dan pengurusan pengoperasianya akan di tentukan oleh Kerajaan Sarawak melalui penubuhan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sarawak, kata Ahmad Johnie.

“Saya menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas komitmen memastikan status pemilikan Pelabuhan Bintulu di serahkan kepada Kerajaan Sarawak melalui kelulusan RUU ini.

“Terima kasih juga kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak yang berusaha gigih berunding dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Ini adalah berita yang amat menggembirakan semua dan bagi saya ini adalah hadiah teristimewa bagi Kerajaan Sarawak rakyatnya sempena sambutan Hari Sarawak yang akan di sambut pada 22hb Julai ini katanya ketika mengulas RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 ke Dewan Rakyat yang diluluskan.

Ahmad Johnie juga berkata, perlu dijelaskan penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak adalah sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.