KUCHING: Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang (RUU) Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 telah diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, tarikh kuat kuasa akan ditentukan oleh menteri bertanggungawab melalui pemberitahuan dalam warta.
“Penentuan tarikh kuat kuasa akan ditetapkan setelah segala penelitian, perbincangan dan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak berkaitan perundangan, operasi pelabuhan, kewangan dan sumber manusia mendapat persetujuan daripada kedua-duak pihak.
“Semua ini dijangka dapat dimuktamadkan dalam tahun ini,” kata Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, usaha itu selaras dengan Perjanjian Malaysia (MA63) dan juga Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961 bahawa semua pelabuhan di Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.
Katanya, tiga jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pegawai, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Khas.
“Ketiga-tiga jawatankuasa ini akan memperhalusi perkara-perkara berkaitan sumber manusia, aset-aset dan kewangan sebelum ia diwartakan,” katanya lagi.
Pada hari ini, RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 bertujuan memansuhkan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 dan membubarkan Lembaga Pelabuhan Bintulu dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Rang Undang-undang itu dibentang Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Menurut naskah biru yang disiarkan di laman Parlimen, rang undang-undang itu antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi penurunan kuasa, hak, kewajiban, liabiliti dan obligasi Lembaga Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak.
Turut dibentangkan bagi bacaan kali pertama, RUU Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024.
RUU itu dibentang bagi memansuhkan Akta Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Port Persekutuan 1979 (Akta 217) disebabkan perubahan dasar kerajaan untuk menukar status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri.
