Inisiatif tenaga hijau Sarawak dibincang Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN

KUCHING: Penglibatan aktif Sarawak dalam pembangunan tenaga hijau termasuk hidrogen dan sumber tenaga boleh diperbaharui dijangka menjadi topik perbincangan pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN yang akan berlangsung di sini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Mastura Ahmad Mustafa berkata, inisitiaf Sarawak itu dijangka menjadi pemacu utama dalam pelbagai perbincangan ekonomi berhubung agenda kelestarian dan kemajuan digital ASEAN.

“Premier Sarawak telah berkongsi fokus utama negeri ini yang selaras dengan aspirasi ASEAN, iaitu peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui serta ke arah kesaksamaan ekonomi dalam kalangan negara anggota.

“Ini menunjukkan keserasian antara visi Sarawak dan agenda ASEAN pada tahun ini,” katanya kepada selepas mengetuai delegasi Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Menurut Mastura, kunjungan hormat tersebut bertujuan menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas kesediaan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai tuan rumah mesyuarat tersebut yang berlangsung di Hotel Sheraton Kuching mulai 22 hingga 24 Januari ini.

Pada pertemuanu, beliau bersama Premier Sarawak turut membincangkan hala tuju dan kekuatan kerajaan negeri, termasuk fokus terhadap tenaga boleh diperbaharui dan inisiatif pendigitalan seperti kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Abang Johari turut menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil.

Kunjungan hormat itu merupakan ke arah usaha memperkukuhkan kerjasama bersama agensi-agensi dalam ekosistem digital ekonomi Sarawak selain membincangkan untuk membantu Kerajaan Sarawak menarik lebih banyak pelaburan digital serta pembangunan infrastruktur digital.