Projek pembangunan Utara Sarawak diterus, wujud peluang ekonomi

LIMBANG: Projek pembinaan jalan dan bekalan elektrik diteruskan di kawasan Utara Sarawak tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, antaranya projek Lebuh Raya Pesisir Utara dan Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) serta projek bekalan elektrik di Limbang dan Lawas.

“Projek bekalan elektrik di Limbang dan Lawas yang akan disambung kepada sistem grid negeri akan turut dilaksana sejajar dengan laluan lebuh raya dan SSLR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina (TBC) Daerah Limbang 2025, di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Dua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, menjelaskan projek pembangunan ini akan mempercepatkan lagi usaha mewujudkan peluang ekonomi.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik Premier Awangku Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan pengerusi pengelola program Penghulu Ang Chiw Kiam.