Kalimantan antara kelab sertai Cabaran Muaythai Tanjong Manis

SARIKEI: Acara perlawanan Cabaran Muaythai P. 206 Tanjong Manis bakal menarik ramai penonton yang akan berlangsung Sabtu ini.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab berkata, ini berikutan pendaftaran amat memberangsangkan acara itu hingga memenuhi stadium hari ini.

“Kita jangka lebih ramai lagi yang akan datang nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa meninjau persiapan menjelang acara itu di Stadium Bola Keranjang, Taman Susur Jambu di Sarikei, hari ini.

Yusuf sehubungan itu berpuas hati dengan sambutan dan persiapan acara itu sekali gus berterima kasih kepada mereka yang terlibat menjayakannya.

Katanya, ini termasuk Persatuan Muay Thai Malaysia, Persatuan Muay Thai Negeri Sarawak, Sarawak Sports Corporation, Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak dan Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis.

Atlet dari sembilan kelab muaythai akan menyertai acara terbabit termasuk dari Semenanjung dan Kalimantan, Indonesia.