KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi universiti pertama menubuhkan Fakulti Undang-Undang di negeri ini
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata sehingga kini, Program Undang-Undang masih belum ditawarkan di mana-mana universiti di Sarawak untuk mengisi kepakaran bidang undang undang.
Katanya, ini terutama berkaitan isu-isu perundangan di Sarawak seperti Ordinan Tanah Sarawak, Undang-Undang Adat, Perlembagaan Sarawak dan Undang-Undang Tanah.
“Maka dengan ini saya mengumumkan bahawa UNIMAS akan menubuhkan Fakulti Undang-Undang untuk memenuhi aspirasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Amanat Naib Canselor 2025 di Kampus UNIMAS di sini, hari ini.
Ahmad Hata berkata, dua program yang akan ditempatkan di fakulti ini ialah Program Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dan Program Sarjana Muda Sains Sosial dalam Hubungan Antarabangsa dengan Kepujian.
“Lokasi Sarawak bersempadan dengan Brunei dan Indonesia serta isu berkaitan Laut China Selatan, juga memerlukan Sarawak mempunyai pakar khusus dalam undang-undang antarabangsa,” tambahnya.
Menurutnya, ini bagi menangani isu pertikaian maritim, imigrasi, keselamatan rentas sempadan dan isu keselamatan serantau.
Ahmad berkata tahun ini, UNIMAS akan menawarkan PHD Retrospektif atau Penerbitan Sebelumnya, PHD Penerbitan Bakal atau Serentak dan Ijazah Kedoktoran Industri.
