Jalan pesisir pantai Kampung Triso dinaik taraf

MALUDAM: Projek menaik taraf jalan pesisir pantai di Kampung Triso sepanjang 11.82 kilometer (km) dijangka siap pada 1 Disember 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, projek dengan nilai kontrak sebanyak RM37,775,336.40 itu telah dimulakan kerja-kerja awal pada 2 Disember 2024.

“Projek bertujuan menaik taraf dan menambah baik permukaan jalan sedia ada di jalan persisiran dari Kampung Triso ke Maludam,” katanya

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis pecah tanah projek terbabit di sini.

Dayang Noorazah berkata, projek itu bukan sahaja akan memperbaiki kualiti dan keselamatan infrastruktur jalan tetapi memenuhi keperluan trafik yang dijangka meningkat selepas siapnya Jambatan Batang Lupar 1 dan Jambatan Batang Saribas.

Turut hadir, ADUN Beting Maro Razaili Gapor; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli; Timbalan Pengarah Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat; Josenthiana Manggie dan Jurutera JKR Bahagian Betong, Ng Boon Tuan.