Jangan sia-siakan pengorbanan ibu bapa – Ahmad Johnie

MATU: Seramai 167 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu diraikan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar dan Graduasi Tingkatan Lima serta Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) 2025.

Majlis anugerah kecemerlangan itu berlangsung di Dewan Aula Inspirasi, SMK Matu di sini, semalam.

Majlis kemudian diserikan dengan penyampaian anugerah khas kepada pelajar cemerlang akademik dan kokurikulum serta persembahan pelajar sebagai tanda penghargaan.

Lebih manis majlis tersebut dihadiri Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang berjaya menamatkan sesi persekolahan mereka.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pelajar terus belajar bersungguh-sungguh dan menggunakan peluang yang ada untuk mencapai kejayaan.

“Jangan sia-siakan pengorbanan ibu bapa yang sentiasa menginginkan yang terbaik untuk masa depan anda,” katanya.

Ahmad Johnie turut mengucapkan selamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kepada semua calon yang menduduki peperiksaan itu.

Di samping itu, beliau turut menyumbangkan LED Panel tetap untuk kegunaan sekolah serta Smart Board bagi memperkasa proses pembelajaran interaktif di SMK Matu.