SIBU: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmennya menjadikan pendidikan sebagai pelaburan strategik melalui pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak yang akan bermula tahun depan.
Premier Sarawak merangkap Pro Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, skim berkenaan akan menanggung sepenuhnya yuran pengajian pelajar Sarawak yang layak di institusi milik kerajaan negeri seperti UTS, Curtin University Malaysia, i-CATS College dan CENTEXS.
Beliau berkata, pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah juga akan menerima elaun sara hidup bagi membantu menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh pengajian.
“Pendidikan percuma ini bukan sekadar bantuan kebajikan, tetapi pelaburan jangka panjang bagi melahirkan tenaga kerja bertaraf dunia. Ia mampu menyokong pertumbuhan negeri dalam bidang teknologi, kesihatan, kejuruteraan dan digital,” katanya pada Majlis Konvokesyen Ke-10 UTS di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, kerajaan negeri turut memperkukuh pendidikan teknikal dan digital bagi memastikan pelajar di bandar dan luar bandar menikmati akses pembelajaran yang seimbang serta berasaskan teknologi.
Tema konvokesyen tahun ini, “Global Impact, Local Identity”.
