Pusat niaga Sukma Ria berwajah baharu

KUCHING: Pusat niaga Sukma Ria berwajah baharu dengan pembukaan Tamu Desa dan Food Society Sukma Ria di sini, hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata pusat tersebut memperkukuh peranannya sebagai hab sosial komuniti dan ekonomi.

Tamu Desa Sukma Ria itu menempatkan 20 gerai aktif terdiri daripada empat kiosk minuman dan 16 gerai makanan yang menawarkan pelbagai juadah tempatan enak dan mampu milik.

“Tamu desa tersebut merupakan projek di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Projek itu bermula 2 April 2025 dan siap pada 1 Ogos lalu. Ia kemudian diserahkan kepada DBKU pada 1 September 2025,” katanya.

Bagi Food Society Sukma Ria, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu menjelaskan, ia telah dinaik taraf dengan kos hampir RM1.9 juta bagi menyediakan persekitaran perniagaan moden, bersih dan lebih menarik kepada pengunjung.

Turut diadakan Hari Bersama Pelanggan 2025 yang menjadi platform interaksi langsung antara DBKU dan pelanggan bagi memahami keperluan serta maklum balas masyarakat.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.