KUCHING: Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Perkara 15A Peringkat Negeri Sarawak sedang menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan sedia ada.
Langkah ini penting bagi memudahcara dan mempercepatkan proses kelulusan permohonan pemastautin tetap (PR).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KWPKK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, proses itu membabitkan kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia negeri dan agensi kerajaan yang lain.
“SOP dan garis panduan sedia ada itu termasuk sijil masuk bagi kanak-kanak yang diluluskan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan agar pemberian indikator ‘K’ dapat dibuat
segera,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan JKKSK Perkara 15A Peringkat Negeri Sarawak di sini.
Fatimah berkata, pada 26 September 2024, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMKN) meluluskan kemasukan indikator ”K” ke dalam kad pengenalan kanak-kanak yang diangkat oleh pasangan/ibu bapa warganegara pemastautin Sarawak yang memiliki indikator ‘K’.
Kemasukan indikator ‘K’ itu, katanya, sebagai dasar tambahan untuk diterimapakai oleh JPN Negeri Sarawak.
Kelulusan tersebut, katanya, terpakai kepada kes anomali kanak-kanak yang diangkat oleh pasangan warganegara (pemegang indikator ‘K’), yang m diberikan taraf kewarganegaraan tanpa mengambil kira status indikator ibu atau bapa kandung dan latar belakang kanak-kanak yang tercatat dalam sijil kelahiran asal.
“Kes-kes anomali terpakai itu turut merangkumi kanak-kanak yang dijumpai yang di tempatkan di institusi kebajikan milik kerajaan yang telah diangkat oleh pasangan warganegara (pemegang indikator ‘K’), tanpa mengambil kira maklumat yang tercatat dalam sijil lahir asal kanak kanak,” katanya.
Dalam mesyuarat hari itu, tambahnya, 16 permohonan kewarganegaraan bagi kategori Anak Tak Sah Taraf daripada empat pejabat permohonan, empat permohonan kewarganegaraan bagi kategori Anak Angkat dan enam permohonan kewarganegaraan bagi kategori Anak Jagaan.
Menurut Fatimah, pada 5 September lalu, sebanyak 10 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A telah dibentangkan.
Permohonan itu, tambahnya, terbahagi kepada dua kategori iaitu lapan permohonan kewarganegaraan bagi kategori Anak Tak Sah Taraf dan dua permohonan kewarganegaraan bagi kategori Anak Jagaan.
Keahlian JKKSK bagi Perkara 15A peringkat negeri Sarawak terdiri daripada beliau sendiri dan dianggotai Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap KPWK, Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah JPN Sarawak, Mahathir Bujang dan urusetia dari JPN Sarawak.
“Jawatankuasa ini memberi fokus kepada urusan verifikasi permohonan; memberi keutamaan kepada urusan fasilitasi proses permohonan dan mengemukakan syor kepada JKKSK.
“Keputusan akhir terhadap semua permohonan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada dasar dan peraturan dan mekanisme semasa yang berkuatkuasa,” katanya.
