RADD: 43 projek dilaksana 2025

SARIKEI: Sebanyak 43 daripada 87 projek bernilai RM842.53 juta di kawasan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADD) dilulus untuk dilaksanakan pada 2025.

RADD dalam kenyataan berkata, bagaimanapun jumlah projek yang akan dilaksanakan itu boleh bertambah sebaik sahaja kelulusan pelantikan juruperunding diluluskan oleh SFS.

Jumlah keseluruhan projek dicadangkan dan mendapat kelulusan semasa Jawatankuasa Pemandu RADD bermesyuarat pada 16 Julai 2024, adalah sebanyak 87 projek yang berjumlah RM1.525 bilion, kata kenyataan itu selepas ahli jawatankuasanya mengadakan mesyuarat di Pusat Pentadbiran Bersepadu Sarikei di sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri beberapa Ahli Jawatankuasa Pemandu RADD secara fizikal dan melalui maya, wakil-wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)dan Parlimen, ketua-ketua jabatan dan ahli mesyuarat yang lain.

Hadir semasa mesyuarat ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga ADUN Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Abdullah Saidol, ADUN Daro, Safiee Ahmad dan ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi.

Kenyataan itu berkata, 27 projek telah mendapat kelulusan juruperunding daripada SFS dan empat projek lagi sudah mendapat kelulusan secara sebahagian (juruperunding survei sahaja).

Sebanyak 12 projek melibatkan juruperunding dalaman, 34 projek masih di peringkat pemilihan juruperunding oleh agensi pelaksana dan 10 projek lagi dalam proses pencalonan juruperunding.

Mesyuarat itu bertujuan mengesahkan beberapa pindaan senarai projek oleh Jawatankuasa Pemandu di kawasan RADD yang terdiri daripada N41 Kuala Rajang, N42 Semop, N44 Jemoreng dan N58 Balingian.