KATSN tawarkan sokongan kebajikan kepada individu berkeperluan khas

KUCHING: Persatuan Pembangunan Bakat dan Kebajikan Keperluan Khas Kuching (KATSN) mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah di sini, hari ini.

Kunjungan tersebut bagi memperkenalkan kepimpinan baharu persatuan itu selain membentangkan struktur organisasi terkini.

Delegasi KATSN diketuai oleh Penasihatnya, Sim Kiang Chiok, dan barisan Jawatankuasa Eksekutif yang baharu dilantik serta penyelaras bagi penggal 2026–2028.

KATSN merupakan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang komited dalam memupuk bakat serta menyediakan sokongan kebajikan kepada individu berkeperluan khas di Kuching.

Melalui pelbagai program dan inisiatif, persatuan ini berusaha mempromosikan inklusiviti, pemerkasaan dan pembangunan holistik dalam komuniti.

Selain itu, kunjungan diadakan hari ini di pejabat kementerian itu juga bertujuan mempelawa Fatimah untuk menjadi Penaung bagi aktiviti anjuran KATSN pada masa akan datang.

Ia sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan dan sokongan berterusan beliau kepada komuniti berkeperluan khas.

Menurut Fatimah, beliau amat menghargai usaha dan sumbangan berterusan KATSN dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti berkeperluan khas serta menggalakkan kerjasama berterusan bagi memperluas peluang dan sokongan kepada golongan ini.

Dalam pertemuan tersebut, KATSN turut berkongsi inisiatif semasa di bawah “The Gifted Stations” yang menyediakan platform pembangunan kemahiran dan bakat dalam bidang seperti seni kulinari, kraftangan, sukan, seni dan jahitan.

Perbincangan turut memberi fokus kepada usaha memperkukuh kerjasama antara KATSN dan pihak kementerian, khususnya dalam memperkasa pembangunan bakat, inklusiviti komuniti serta pemerkasaan individu berkeperluan khas.