BETONG: Pembinaan Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di bahagian ini, sekali gus merancakkan ekonomi dan memelihara warisan sejarah Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata projek bernilai RM16 juta itu turut melibatkan pembinaan jalan akses berjumlah RM38 juta bagi membuka potensi kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi.
Menurut beliau, Bukit Sadok bakal dihubungkan melalui darat dari Sibu, Sri Aman dan Kuching, selain akses udara melalui projek pembinaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling yang sedang dirancang.
Katanya, projek itu bukan sahaja mengangkat sejarah perjuangan pahlawan Iban, Rentap, malah dijangka memberi manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan melalui peluang pekerjaan dan aktiviti keusahawanan.
“Apabila siap kelak, Replika Kubu Rentap ini akan menjadi tarikan di Betong serta menambah sumber pendapatan pelancongan kepada masyarakat,” katanya semasa Majlis Pecah Tanah projek berkenaan, dekat sini semalam.
Bagi fasa satu pembangunan merangkumi pembinaan 10 unit chalet lengkap dengan pantri dan bilik air, selain kemudahan tradisional seperti tanju, panggau, ruai, tempuan serta sebuah pusat informasi.
Uggah berkata, projek itu turut dijangka meningkatkan hasil kerajaan menerusi sektor pelancongan dan merangsang pertumbuhan industri berkaitan termasuk hotel, restoran serta perkhidmatan pengangkutan.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Penasihat Penyelidikan Sains Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Setiausaha Majlis Daerah Betong Lister Clement Guwie dan Temenggong Richard Mulok.
