Kekurangan parkir kereta Pusat Penjaja Semarak akan ditangani

KUCHING: Kekurangan tempat letak kereta di kawasan Pusat Penjaja Semarak Gita akan ditangani, kata Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Tupong berkata, buat masa ini beliau dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengenal pasti kawasan yang sesuai.

“Setakat ini kita akan berbincang dengan pihak DBKU untuk menambah parkir kereta,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Bazar Ramadan Semarak di Gita, hari ini.

Tambahnya, langkah tersebut perlu demi memastikan keselesaan semua pihak sepanjang Bazar Ramadan beroperasi serta pelanggan pusat penjaja berkenaan di masa hadapan.