Kerajaan GPS agresif bangunkan kawasan luar bandar

SEMOP: Pertambahan projek berperuntukan tinggi setiap tahun terutama di luar bandar mewujudkan beban gerak kerja luar biasa kepada agensi pelaksana hingga menjadi punca kelewatan segelintir projek.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol situasi ini secara tidak langsung memberi gambaran betapa agresif Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu membangunkan kawasan luar bandar.

“Pelaksanaan projek oleh agensi bertanggungjawab menghadapi sedikit kelewatan kerana kita sedar beban gerak kerja yang luar biasa bila banyak projek berperuntukan tinggi yang dipohon wakil rakyat GPS, dilulus oleh kerajaan dan sentiasa bertambah setiap tahun, terutama di kawasan luar bandar.

“Pegawai-pegawai agensi ini sama ada di peringkat daerah atau bahagian perlu bergerak di lapangan dalam kawasan yang sangat luas dan mencabar terutama sekali di kawasan pedalaman,” katanya semasa menghadiri Program Ramah Tamah Hari Raya DUN Semop di sini, semalam.

Jelas Abdullah, beliau sering menerima pertanyaan daripada pemimpin masyarakat serta penduduk mengenai status projek, lebih-lebih lagi yang berstatus kritikal seperti kerja-kerja menaiktaraf sistem saliran yang sangat diperlukan terutama semasa musim tengkujuh.

“Saya memahami bahawa agensi seperti JKR, DID dan JBALB kini berdepan cabaran besar dengan peningkatan ketara jumlah permohonan dan kelulusan projek oleh wakil rakyat GPS khususnya di luar bandar.

“Keluasan daerah dan bahagian di Sarawak yang besar juga memberi impak terhadap keupayaan pelaksanaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa agensi-agensi kerajaan kini giat menambah bilangan pegawai teknikal di peringkat daerah dan bahagian bagi mempercepat proses pelaksanaan projek.

Dalam perkembangan lain, Abdullah turut menyuarakan rasa kecewa terhadap kelewatan projek pembinaan Jambatan Batang Paloh yang diharapkan dapat digunakan penduduk Pulau Bruit semasa sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Ramai pengguna, terutama dari Pulau Bruit kecewa kerana terpaksa beratur panjang sehingga dua jam menaiki feri semasa musim perayaan. Kami sedar betapa pentingnya jambatan ini kepada rakyat,” katanya.

Tegasnya, semasa Ramadan yang lalu, beliau bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sendiri telah melawat tapak projek dan memberi peringatan tegas kepada kontraktor untuk mempercepatkan kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut. — UKAS