Kerajaan Sarawak terus bantu bayar yuran taska di tempat kerja

KUCHING: Kerajaan Sarawak sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk membantu bantuan kepada ibu bapa menghantar anak ke taska di tempat kerja tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya telah mendapat peruntukan dari kerajaan negeri sebanyak RM2.5 juta bagi memberikan bantuan terbabit tahun lalu.

“Untuk tahun ini kita juga mendapat peruntukan sebanyak RM2.5 juta dan sudah diluluskan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Taska Tempat Kerja Sedidik Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, bantuan itu dalam bentuk subsidi pembayaran yuran taska anak sebanyak RM1,000 setahun.

“Ini akan membantu ( mengurangkan beban ibu bapa membayar yuran taska di tempat kerja) dalam beberapa bulan,” tambahnya.

Menurutnya, bantuan itu diberikan kerana pihaknya mendapati ada ibu bapa di negeri ini tidak mendapat bantuan subsidi itu dari Kerajaan Pusat kerana syarat ditetapkan termasuk nama ibu bapa perlu ada dalam sistem e-kasih.