Kerjasama, maklumat orang ramai diperlu bantu polis siasat kes tembak

SIBU: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kes tembak di sebuah kedai kopi Lorong 3, Jalan Wong King Hou petang semalam, supaya tampil membantu untuk siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi terus pegawai penyiasat kes, ASP Mingat Bakil di talian 019-8867978.

Menurutnya, sekitar jam 5.41 petang semalam (Isnin), polis menerima satu panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan berlaku kejadian melepaskan tembakan di kedai kopi tersebut.

“Siasatan awal di tempat kejadian, melibatkan seramai tiga mangsa lelaki berumur lingkungan 27 hingga 33 tahun, telah terkena tembakan yang dilepaskan oleh dua suspek yang masih belum dikenal pasti identiti mereka.

“Kedua-dua suspek menaiki dua motosikal,” katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, keadaan ketiga-tiga mangsa kini stabil dan sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, cubaan bunuh. Motif kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya.