Kerjasama PETROS, PETRONAS masih dibincang

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menjelaskan kerjasama antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) masih dalam peringkat perbincangan bagi mengatasi isu di antara kedua-dua syarikat berkenaan.

Fadillah berkata, PETROS menghantar surat kepada PETRONAS dalam minggu ini untuk membincangkan susunan komersial, undang-undang kerjasama, pentadbiran dan perincian kerjasama ini.

Jelas beliau, setelah mendapat kesepakatan dalam rundingan berkenaan, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menilai semula hasil rundingan sebelum dimuktamadkan sepenuhnya.

“Bahagian perincian belum lagi, tetapi PETROS telah menulis surat kepada PETRONAS untuk menyelesaikan perinciannya dan diharapkan mereka boleh mencapai persetujuan, bahagian perinciannya.

“Hanya selepas itu, Perdana Menteri dan Premier Sarawak akan melihat semua perinciannya, tetapi buat masa ini, biar PETROS dan PERRONAS menyelesaikan semua perincian tersebut, termasuk pengaturan komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pengagihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra (KJM) Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang berlangsung di Kompleks Sukan Satok, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki, Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman.