Sambutan Aidilfitri bermakna buat 58 nelayan

BELADIN: Sambutan Aidilfitri bermakna buat 58 nelayan di sini, setelah menerima kunci rumah di bawah Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) Beladin.

Majlis penyerahan berlangsung di PSN Beladin, Pusa dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor.

Ia turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Hamdan Mamat.

Dalam ucapan ringkasnya, Razaili menekankan kepentingan PSN dalam memberi kehidupan yang lebih selesa kepada nelayan.

Beliau berharap agar kompleks pendaratan ikan yang telah siap di kawasan itu segera beroperasi untuk memacu industri perikanan tempatan.

Katanya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyumbang RM10,000 bagi setiap rumah untuk kegunaan permulaan nelayan yang berpindah masuk.

Untuk rekod, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM21.25 juta bagi projek ini sejak 2016, dengan fasa pertama menyaksikan pembinaan 68 unit rumah bernilai RM6.8 juta.

Majlis turut diserikan dengan pengagihan bubur lambuk kepada komuniti setempat, melambangkan semangat perpaduan dan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.