KUCHING: Sokongan padu daripada warga pendidik, ibu bapa dan komuniti boleh membantu Kolej Tingkatan Enam Saratok mencapai sasaran Gred Purata Sekolah (GPS) 3.04 peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, selain sasaran GPS, kolej turut menetapkan matlamat untuk mencapai kadar kemasukan universiti sebanyak 90.33 peratus bagi kohort berkenaan.
Beliau menekankan keyakinan itu bersandarkan prestasi akademik semasa yang menunjukkan peningkatan konsisten, termasuk kejayaan kolej merangkul Anugerah NYALA PREMIER daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 12 November lalu.
Ia mengiktiraf tadbir urus dan kecemerlangan akademik di peringkat nasional.
“Pencapaian STPM 2024 yang meletakkan kolej ini di kedudukan ke-14 daripada 79 Pusat Tingkatan Enam di Sarawak dengan GPS 2.99, serta kadar kemasukan universiti meningkat kepada 80.65 peratus, adalah petunjuk jelas hala tuju yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kolej Tingkatan Enam Saratok (MAKTES) di IPG Kampus Batu Lintang, semalam.
Mohamad Duri mendedahkan prestasi Kohort 10 yang melibatkan 164 pelajar menunjukkan perkembangan positif, dengan GPS Peperiksaan Semester Dua STPM 2025 meningkat kepada 2.40 dan Purata Band Malaysian University English Test (MUET) naik kepada 3.42 mata.
Majlis turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah termasuk Anugerah Bintang Akademik dan Anugerah Khas ADUN N.38 Kalaka. Hadir sama Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, serta Pengetua Kolej Tingkatan Enam Saratok, Omar Sharif Buseri.
