KUCHING: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sarawak mengeluarkan 14 notis kepada kontraktor, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan CIDB, notis dikeluarkan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu 2025 bagi memastikan pematuhan undang-undang dalam sektor pembinaan di sekitar Kuching.
Operasi ini melibatkan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak (ABM).
Hasil operasi mendapati beberapa kontraktor gagal memenuhi syarat yang ditetapkan oleh CIDB, termasuk tidak memiliki Sijil Perakuan Pendaftaran CIDB, tidak mendaftar pekerja binaan mereka, serta kegagalan dalam aspek pengurusan keselamatan di tapak bina.
“Sejumlah 14 notis dikeluarkan oleh CIDB terhadap kontraktor yang gagal mematuhi Akta 520, yang mengawal selia pembangunan industri pembinaan di Malaysia,” menurut CIDB.
Tindakan lanjut akan diambil terhadap kontraktor yang gagal mematuhi peraturan, termasuk kemungkinan dikenakan denda atau tindakan undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran dalam sektor pembinaan boleh menyalurkan aduan kepada CIDB Sarawak atau agensi berkaitan,”tambah CIDB.
Dalam operasi itu JKKP juga mengeluarkan tiga notis berkaitan pelanggaran peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di beberapa tapak pembinaan.
