KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) memohon Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) supaya memperluaskan khidmatnya ke Sarawak meskipun JICA tidak lagi fokus kepada Sarawak ekoran ekonomi Malaysia semakin makmur.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah memohon sama ada khidmat JICA di Sarawak fokus kepada latihan dan bantuan dalam bentuk melatih sumber manusia dan intervensi di Pusat Intervensi Kanak-kanak Sehenti (OSEIC) atau di Pusat Pemulihan Komuniti.
“KPWKK turut memohon kerjasama dalam bidang latihan dan keperluan lain di Sarawak bersama JICA,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Fatimah sedang mengetuai delegasi KPWKK dalam rangka lawatan ke Tokyo, Jepun mulai 14 hingga 19 Oktober ini.
Pada 16 Oktober 2024, delegasi KPWKK itu mengadakan kunjungan ke JICA di Tokyo dan diberi taklimat mengenai peranan dan fungsi JICA.
Lawatan ke Tokyo itu bertujuan mewujud jaringan kerjasama bagi penyelidikan dan pembangunan dalam bidang Pendidikan dan Jagaan Awal Kanak-kanak (ECCE), keperluan khas, pembangunan keluarga dan kesejahteraan komuniti.
Hasil lawatan ke Tokyo itu akan menjadi nilai tambah kepada KPWKK dalam usaha berterusan membangunkan mutu ECCE dan keterangkuman sosial.
Semasa berada di Tokyo, delegasi KPWKK itu turut mengadakan lawatan ke Agensi Keluarga dan Kanak-kanak (CFA), Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Taman Asuhan Tomisha Sora-no-Kodomo, Chiisana Uchu, Sekolah Antarabangsa Awam Tokyo, Tadika Fuji, Dewan Bandaraya Mitaka, Taman Ueno dan Taman Asuhan Human ChildStar.
