SIBU: Seramai 203 pesara polis Kontinjen Sarawak menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N) di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata menyampaikan pingat dengan seramai 121 pesara menerima sendiri pingat itu manakala 82 lagi diwakili waris mereka.
“Sejak 2014 Kontinjen Sarawak mengadakan penganugerahan P.J.P.N ini membabitkan 2,517 penerima,” menurut Mancha.
Beliau berkata, seramai 1,218 pesara yang layak masih belum dianugerah P.J.P.N. dan ada kalangan mereka menolak hadir istiadat penganugerahan akibat kekangan kesihatan dan sebab lain.
Menurutnya, Polis Kontinjen Sarawak juga akan memperturunkan kuasa kepada Ketua Polis Daerah (KPD) untuk menyampaikan pingat tanpa istiadat di Ibu pejabat Daerah (IPD) masing-masing atau di rumah pesara.
P.J.P.N dianugerah kepada petugas polis bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara semasa era darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 21 julai 1960.
Selain itu, era insurgensi komunis pada 17 jun 1968 hingga 2 Disember 1989 di Malaysia serta di Sabah.
Manakala, Sarawak pada 1962 hingga 17 Oktober 1990 dikenali sebagai perkhidmatan semasa darurat.
