BIMP-EAGA main peranan tingkat ekonomi serantau

KOTA KINABALU: Kawasan Pertumbuhan Asean Timur ASEAN Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) memainkan peranan penting dalam memajukan pembangunan sosioekonomi dan meningkatkan kedudukan rantau ini dalam ekonomi global.

Ke arah itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menekankan keperluan untuk menggubal dasar kerajaan yang jelas serta menggesa penglibatan aktif sektor swasta bagi memacu pertumbuhan serantau.

“Kita perlu menawarkan insentif menarik serta memastikan proses telus bagi merangsang pertumbuhan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan ke-6 (CMLGF) sempena Mesyuarat Menteri BIMP-EAGA Ke-27 di sini, hari ini.

Awang Tengah turut mengutarakan kepentingan kerjasama strategik, khususnya dalam mewujudkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) di sempadan utama seperti Tebedu-Entikong bagi meningkatkan perdagangan rentas sempadan dan mengintegrasikan rantaian bekalan antara Sarawak dan Kalimantan.

Forum tersebut dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan turut dihadiri beberapa pemimpin utama.

Antaranya Pemangku Pengerusi Perbandaran Bandar Seri Begawan Sharinah Awang Suhaimi, Pemangku Gabenor Provinsi Gorontalo, Indonesia Dr. Ir. Mohammad Rudy Salahuddin dan Pengarah Promosi Pelaburan dan Hal Ehwal Awam, Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao, Filipina Rodrigo Giducos.

Dalam pada itu, Awang Tengah dijadual menghadiri Mesyuarat Menteri BIMP-EAGA Ke-27 yang dipengerusikan Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli.