Belanjawan 2025: Berikan kuasa JBALB laksana projek bekalan air bawah RM50 juta

KUCHING: Kerajaan Persekutuan diminta memberi kuasa melaksanakan projek bekalan air di Sarawak kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam Belanjawan 2025.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato’ Sri Julaihi Narawi berkata, ini membabitkan projek yang di bawah peruntukan sebanyak RM50 juta.

“Kita minta agar ia dilaksanakan di bawah JBALB atau mana-mana agensi pelaksana di bawah kementerian kami,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Julaihi berkata, ini bagi mempercepatkan pellaksanaannya kerana sebanyak 12 projek persekutuan untuk bekalan air di Sarawak tidak dapat dilaksanakan meskipun sudah dilulus sejak 2017 melalui penemuan audit baharu oleh Jabatan Audit Negara.

“Saya berharap apabila belanjawan ini dibentang nanti, usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan dipergiat kerana memberikan bajet sahaja tidak mencukupi,” katanya.

Katanya, Kerajaan Sarawak turut membiayai projek infrastruktur berkaitan bekalan air bersih mencecah RM4 bilion di negeri ini.

“Kini di kawasan luar bandar mencapai liputan (bekalan air bersih) sebanyak 70 peratus manakala kawasan bandar pula lebih 90 peratus,”tambahnya.

Katanya Sarawak memerlukan peruntukan tambahan bagi membina sistem paip untuk melengkapkan Sistem Grid Bekalan Air selain pelaksanaan Projek Pelan Induk Bekalan Air Sarawak.