Lima lokasi Bazar Ramadan Rahmah

SIMANGGANG: Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Sarawak diadakan di Simanggang Ramadan Fest, Jalan Kelab, di sini semalam.

Program BRR dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak 2023 dalam usaha menggalakkan peniaga menawarkan menu Rahmah dan transaksi perniagaan tanpa tunai.

Ketua Cawangan KPDN Sri Aman, Qartinee Mohamad Esa berkata, pengunjung juga berpeluang menerima baucar e-wallet Touch ‘n Go bernilai RM20 secara percuma bagi BRR tahun ini.

“Tawaran ini terhad kepada 150 pengunjung terawal di setiap lokasi sepanjang Ramadan,” katanya.

Qartinee berkata, di Sarawak sebanyak lima lokasi terpilih BRR dan selain Simanggang juga di Bazar Ramadan Metrocity Matang, Kuching (10-27 Mac), perkarangan Dewan Sentral Market, Mukah (14 Mac), tempat letak kereta Farley, Sibu (15 dan 16 Mac), Dataran Esplanade, Bintulu (17 dan 18 Mac).