Serian tuan rumah Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak 2025

SERIAN: Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak akan diadakan di Bahagian Serian pada 17 Mac ini.

Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, majlis bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur’ itu akan diadakan di Masjid Bahagian Serian bermula jam 6 petang.

Jelasnya, majlis ini akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Sambutan ini turut dihadiri sekitar 200 tetamu kenamaan serta 800 orang terdiri daripada ketua masyarakat, kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan, wakil masjid, surau, pertubuhan, persatuan serta orang awam yang akan memeriahkan suasana,” ujar beliau dalam sidang media di Serian hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Mual Suaud, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph dan Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap.

Beberapa acara sampingan turut diadakan seperti Forum Hal Ehwal Islam Sarawak (FORHEIS) pada 14 Mac, ceramah perdana di Masjid Al-Abrar, Kampung Lubok Ria serta program jualan Rahmah di Masjid Bahagian Serian.

Pada hari sama, beberapa acara menarik turut berlangsung seperti ‘Mushaf Exchange’ dan ‘Quran Hour’ .

Bagi menambah keberkatan program, turut diadakan majlis berbuka puasa, solat Maghrib berjemaah, solat Isyak, Terawih serta tazkirah Nuzul Al-Quran yang akan disampaikan oleh Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin.

Kemuncak program adalah penyampaian amanat daripada Premier Sarawak dan perasmian naik taraf Masjid Bahagian Serian oleh Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.