DAVAO CITY: Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City, Filipina menganjurkan program gotong-royong penyediaan bubur lambuk bagi diagihkan kepada jemaah di Masjid Jamjoom, Ecoland, di sini, semalam.
Sebanyak 200 pek bubur lambuk dan 200 pek makanan berbuka puasa diagihkan kepada jemaah terbabit.
Program ini melibatkan penyertaan semua pegawai dan kakitangan konsulat itu bersama semua ahli-ahli perwakilan.
Konsul Jeneral Malaysia di Davao City, Deddy Faisal Ahmad Salleh berkata, program ini adalah sebahagian usaha berterusan konsulat itu menjalinkan hubungan erat dengan komuniti Islam di Davao City.
“Program gotong-royong ini bukan sahaja mencerminkan budaya Malaysia yang kaya dengan amalan kebersamaan, tetapi juga sebagai satu bentuk penghargaan kepada masyarakat di Davao City yang sentiasa menyambut baik kehadiran Malaysia di sini,” katanya.
Program ini turut mendapat sambutan baik daripada jemaah Masjid Jamjoom, terutama Mufti Davao, Aleem Muhammad Yusof Pasigan.
