PUSAKA terima Lawatan Muhibbah Jawatankuasa SmartGreen Kolej Komuniti Mas Gading

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) komited terhadap penjagaan alam sekitar melalui teknologi hijau yang inovatif dan inisiatif strategik.

Komitmen tersebut diyakini akan terus menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Global (SDG) dan aspirasi Sarawak daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 bagi memastikan Sarawak kekal sebagai negeri hijau.

Timbalan Pengurus Besar PUSAKA, Haluyah Awi yakin kerjasama pelbagai pihak dan pemain industri akan mampu melahirkan generasi muda yang lebih peka terhadap isu alam sekitar bidang teknologi hijau.

“Sebagai langkah awal, semua pihak perlu memainkan peranan dalam menerokai peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan inovasi hijau seperti pembangunan produk berasaskan buluh dan kayu lestari.

“Selain itu, program pendidikan seperti bengkel dan latihan industri juga boleh dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan pelajar tentang amalan terbaik dalam pengurusan sumber semula jadi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam lawatan muhibbah Jawatankuasa SmartGreen Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) ke Ibu Pejabat PUSAKA di Petra Jaya, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pengurusan merangkap Penasihat Jawatankuasa SmartGreen KKMG, Munirah Yahya berharap agar pihaknya dapat melaksanakan lebih banyak kolaborasi bersama PUSAKA ke arah kelestarian alam sekitar dan mesra alam.

“Banyak benda baharu yang dapat kita pelajari daripada PUSAKA pada kunjungan hari ini. Antaranya inisiatif PUSAKA ke arah kelestarian alam sekitar dan mesra alam,” katanya.