MOTS dapatkan penerbangan tambahan sempena Aidilfitri

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) sedang berusaha mendapatkan penerbangan tambahan daripada Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Batik Air bagi memastikan kelancaran perjalanan rakyat Sarawak sempena Hari Raya ini.

Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin memaklumkan bahawa syarikat penerbangan ini bersetuju untuk menambah penerbangan bagi memenuhi permintaan tinggi sepanjang musim perayaan.

Tambahan penerbangan ini akan beroperasi dari 26 Mac hingga 6 April 2025 bagi laluan antara Kuala Lumpur dan Kuching, Sibu, Miri serta Bintulu, bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan rakyat Sarawak dapat pulang ke kampung halaman.

Bagi memastikan kelancaran perjalanan sempena Hari Raya, Batik Air akan menambah tiga penerbangan tambahan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching dan dua penerbangan tambahan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Sibu dari 26 hingga 31 Mac.

Malaysia Airlines (MAS) pula akan menyediakan satu penerbangan tambahan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching, Kuala Lumpur-Miri, Kuala Lumpur-Sibu dan Kuala Lumpur-Bintulu pada 28 dan 29 Mac.

Tambahan satu penerbangan setiap hari juga akan disediakan bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching pada 4 dan 5 April, serta bagi laluan Kuala Lumpur-Miri, Kuala Lumpur-Sibu dan Kuala Lumpur-Bintulu pada 5 dan 6 April.

Sementara itu, AirAsia akan menambah satu penerbangan tambahan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching dari 29 Mac hingga 4 April, Kuala Lumpur-Sibu dari 30 Mac hingga 4 April, Kuala Lumpur-Miri dari 28 Mac hingga 4 April, serta Kuala Lumpur-Bintulu dari 30 Mac hingga 2 April.

Selain itu, satu penerbangan tambahan akan disediakan bagi laluan Johor-Sibu pada 4 April, manakala laluan Johor-Kuching akan menerima satu penerbangan tambahan setiap hari dari 31 Mac hingga 4 April.

Menurut Lee, langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan di lapangan terbang, tetapi juga memastikan rakyat Sarawak dapat pulang ke kampung halaman.

“Kami berterima kasih kepada MAS, AirAsia, dan Batik Air atas kerjasama mereka dalam menambah kapasiti penerbangan bagi menampung keperluan penumpang yang semakin meningkat.

“Kami juga menggalakkan orang ramai untuk menempah tiket lebih awal bagi memastikan kelancaran perjalanan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa MOTS akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan utama bagi memastikan jumlah penerbangan mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat, khususnya ketika musim perayaan.