LAWAS: Kawasan di utara Sarawak khasnya Limbang dan Lawas berpotensi dijadikan pusat penanaman padi secara komersial sebagai usaha meningkatkan ekonomi penduduk.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kawasan yang dirancang antaranya Merapok, Sundar, Trusan, Long Semadoh, Bakelalan serta beberapa kawasan lain yang berpotensi.
Selain itu katanya, Limbang dan Lawas bakal dijadikan pusat pengeluaran kerbau dan kilang pemprosesan keju daripada susu kerbau ditubuhkan di Meragang.
“Program pembangunan pertanian moden ini turut menekankan penggunaan teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti dan hasil tanaman,” katanya.
Bagi menyokongnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) juga akan menambah baik jalan dan sistem saliran bagi memudahkan akses serta menyokong pembangunan pertanian.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan Lawatan Tapak Pembinaan Culvert dan Surau Kpg Sasa, Ulu Merapok di Kpg Sasa, Ulu Merapok, semalam.
Penduduk tempatan juga digalak terlibat dalam pemprosesan makanan untuk menambah nilai produk, termasuk ubi, pisang, sambal tahai, keropok berasaskan udang dan ikan, serta produk tempatan lain.
Menurut Awang Tengah, produk sambal tahai telah menembusi pasaran Singapura dan Semenanjung Malaysia.
“Pusat perkhidmatan mini turut dibina di Merapok untuk memudahkan latihan, pembelajaran dan penglibatan syarikat dalam pasaran produk yang lebih luas.
“Aktiviti ini juga sejajar dengan pembangunan landskap dan jaringan jalan raya yang lebih baik di kawasan ini,” kata Awang Tengah lagi.
Pada majlis itu, Surau Kampung Sasa menerima peruntukan sebanyak RM100,000 yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
