KUALA LUMPUR: Pengambilalihan Lembaga Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Sarawak memberi dokongan dan iltizam yang jelas antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak akan terus subur mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Senator Dato Ahmad Dato Ibrahim berkata, perkara itu tidak perlu digusarkan kerana ia tetap juga sebahagian dalam Kerajaan Persekutuan.
Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) akan terus beroperasi seperti biasa memandangkan pertukaran status pelabuhan daripada Kerajaan Persekutuan ke Kerajaan Sarawak tidak menjejaskan fungsinya sebagai Operator Pelabuhan, katanya semasa membahas dan menyokong Rang Undang-undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 pada sidang Dewan Negara di sini.
“Inilah keunikan dalam kita mengekalkan semangat Persekutuan. Kita saling lengkap-melengkapi,” tegas beliau.
Menurut beliau, penurunan kuasa, hak, kewajipan, liabiliti, obligasi dan pematuhan Lembaga Pelabuhan Bintulu diserahkan kepada Kerajaan Sarawak, merupakan permulaan yang baik untuk Sarawak dan juga Kerajaan Persekutuan dalam memahami apa termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebenarnya.
Dengan mengalihkan pengurusan kepada Kerajaan Sarawak, katanya, Kerajaan Persekutuan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber yang sedia ada untuk fokus pada perkara yang lebih penting, pembangunan yang lain atau infrastruktur lain.
Dalam masa sama, dengan Kerajaan Sarawak mengambilalih tanggungjawab operasi harian Pelabuhan Bintulu, Kerajaan Persekutuan dapat mengurangkan perbelanjaan langsung yang berkaitan dengan pengurusan, penyelenggaraan dan pembangunan pelabuhan tersebut, tambahnya.
