Mukah tuan rumah Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1446/2024M

MUKAH: Bahagian Mukah akan menjadi tuan rumah Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1446/2024M yang akan berlangsung mulai 16 hingga 17 September ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, sambutan itu merupakan acara rasmi Kerajaan Sarawak yang diadakan setiap tahun.

“Objektif bertujuan mengingati kembali peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, sebagai contoh teladan kepada semua umat Islam.

“Selain itu, untuk meneliti sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk menyemarakkan kasih sayang umat Islam terhadap insan yang mulia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah hari ini.

Antara acara-acara iringan yang akan diadakan adalah Seminar ‘Lau Ka Na Bainana’, Mukah Berselawat, Forum Perdana Ehwal Islam, Ceramah dan Farum Sempena Maulidur Rasul di masjid dan surau di setiap bahagian di Sarawak.

Selain itu, turut diadakan Ziarah Perkampungan Saudara Kita, Pertandingan Memanah, Pertandingan TikTok Challenge Video Kreatif dan Pameran Realiti Maya (VR).

Katanya, dua majlis utama akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Majlis pertama adalah Majlis Kesyukuran Maulidur Rasul yang akan diadakan 16 September ini di Masjid Setia Raja.

“Selain itu, Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1446H/2024M yang akan berlangsung pada 17 September bertempat di Dataran Pehin Setia Raja Mukah,” tambahnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha dan Timbalan Residen Bahagian Mukah Safrie Saili.