Sistem perparitan Kampung Tengah akan diselenggara

BINTULU: Projek penyelenggaraan sistem perparitan Kampung Tengah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di sini akan dimasukkan dalam Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2025.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, ini setelah keperluan mendesak dikenalpasti untuk penyelenggaraan sistem perparitan kampung terbabit.

“Masalah perparitan yang tidak terurus menyebabkan banjir kilat, dan projek ini akan dimasukkan dalam RTP tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa meninjau kawasan DUN Jepak, di sini, hari ini.

Dalam tinjauan di Kuala Tatau, Iskandar mengenal pasti keperluan menaik taraf jeti di Kampung Nour Iman dan Kampung Seberang Jaya bagi memudahkan urusan nelayan dua kampung itu.

Beliau juga melawat lima rumah penduduk yang memerlukan bantuan baik pulih, termasuk katil khas dan kerusi roda.