Mutang tokoh berjiwa rakyat, banyak berjasa kepada Sarawak – Premier

MIRI: Sarawak telah kehilangan tokoh yang banyak berjasa kepada negeri ini dan Malaysia susulan pemergian mantan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal, Jumaat lalu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari menyifatkan mendiang sebagai tokoh berjiwa rakyat dan berprinsip.

Katanya, mendiang juga sangat memperjuangkan perpaduan erat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Walaupun tidak lagi bergelar wakil rakyat, mendiang katanya tetap menyumbang kepada pembangunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Sebab itu apabila Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, maka kami (GPS) berbincang mencadang kepada Perdana Menteri supaya melantik Datuk Mutang bagi menggantikan Tun sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi penghormatan terakhir kepada Datuk Mutang di BEM Airport Road Church, di sini, hari ini.

Beliau juga menzahirkan takziah kepada ahli keluarga mendiang dan berharap mereka bersabar dalam menghadapi ujian ini.

Abang Johari tiba BEM Airport Road Church, Miri kira-kira jam 1 petang tadi bersama isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian serta isteri masing-masing.

Terdahulu, jasad mendiang yang diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang tiba di BEM Airport Road Church, Miri kira-kira jam 10 pagi.

Upacara kebaktian akan diadakan di BEM Canada Hill Church, di sini pada Isnin (13 Mei) bermula jam 9 pagi sehingga selesai dan urusan pengebumian dilakukan di Perkuburan SIB, Lambir, Miri pada Isnin.

Mutang meninggal dunia pada usia 70 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 11.46 pagi Jumaat.