SPAOH: Sambutan Gawai Dayak yang akan datang menjadi platform mempamerkan kekayaan budaya dan tradisi kaum Dayak kepada dunia.
Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahu usaha dipergiatkan lagi bagi mendedahkan warisan ini kepada orang ramai.
Oleh itu katanya, usaha harus dilakukan untuk mengekalkan tradisi lisan seperti ‘Biau’ (nyanyian berkat), ‘Renung’ (kepercayaan tradisional/nyanyian rekreasi) dan ‘Pengap’ (nyanyian invokasi).
“Mari kita anjurkan pertandingan untuk mereka kerana mereka adalah ‘Pesaka Besai’ (warisan budaya yang sangat penting).
“Dengan cara ini, kita boleh menyumbang untuk memelihara dan mewariskannya kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan perhimpunan pra Gawai Dayak anjuran Persatuan Spaoh Tuai Rumah (Ketua Rumah Panjang) di sini malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu gembira mengetahui seni mempertahankan diri tradisional Iban ‘Kuntau’ masih mendapat tempat dalam kalangan belia.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menyeru masyarakat Dayak menggunakan perayaan ini sebagai satu lagi peluang untuk mengukuh dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat lain.
