KUCHING: Sarawak akan mengukuhkan nilai integriti dalam pentadbirannya dan memanfaatkan teknologi canggih dalam usaha memacu kemajuan wilayah ini.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, integriti bukan sekadar asas penting dalam menghadapi cabaran digitalisasi, malah merupakan teras utama dalam memastikan kejayaan setiap inisiatif pembangunan.
Tanpa integriti, segala usaha pembangunan akan gagal, meskipun sesebuah negara atau negeri memiliki sumber alam yang melimpah, tegas Abang Johari.
“Kita boleh lihat contoh negara-negara yang kaya dengan sumber alam seperti minyak dan gas, tetapi sehingga kini masih tidak berkembang kerana tiada pengurusan berintegriti.
“Alhamdulillah. Sarawak ada dasar untuk mencapai sasaran pembangunan pada 2030, dan kini sedang merangka dasar lebih jauh lagi, iaitu selepas 2050, demi kemajuan generasi akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa sempena Hari Integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) 2025, di sini.
Dalam pada itu, Abang Johari mengucapkan tahniah atas usaha Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dalam membudayakan integriti serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak sejak penubuhannya pada 1972.
“SEDC sudah mempunyai budaya dan asas integriti yang kukuh. Inilah contoh yang sangat baik untuk diikuti oleh agensi lain,” jelas Abang Johari lagi.
Pada majlis itu, Premier Sarawak menyaksikan penyerahan zakat perniagaan SEDC berjumlah RM150,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) selesai menunaikan solat Maghrib berjemaah.
