STOLPort Bebuling dijangka mula beroperasi November 2025

BETONG: Lapangan terbang landasan pendek (STOLPort) Bebuling dijangka mula beroperasi menjelang November tahun ini, dedah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Jelas Uggah, projek itu bernilai RM248 juta menyaksikan kerja-kerja pembinaannya mengikut jadual.

Menurutnya, fokus ketika ini terarah kepada mekanisme yang perlu dipenuhi sebelum dapat digunakan sepenuhnya nanti.

“Kami percaya pada November depan, ia akan siap untuk digunakan. Buat masa sekarang, kami sedang menyelesaikan mekanisme bagi memastikan keperluan dipenuhi agar STOLPort dapat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tiga tapak projek hari ini iaitu STOLPort Bebuling, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Betong dan Jambatan Sungai Paku.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menambah, matlamat utama pembinaan STOLPort bebuling untuk memudahkan pergerakan pelancong ke Betong serta menjadi pusat untuk mengeksport produk dari kawasan berdekatan ke luar Sarawak.

Katanya, STOLPort akan berperanan membawa penumpang dan sekarang sedang dibangunkan beberapa produk pelancongan termasuk di Bukit Sadok dan Batang Ai.

Dari situ ke Batang Ai hanya mengambil masa lebih kurang satu jam sahaja, pengunjung boleh menikmati permandangan di kawasan tersebut, katanya.

Mengiringi beliau ke tapak pembinaan STOLPort Bebuling ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Ir Dr Cassidy Morris.