LAWAS: Peruntukan Belanjawan Sarawak 2025 sebanyak RM15.8 bilion menunjukkan kesungguhan Kerajaan Sarawak menjaga kebajikan rakyat di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini terutamanya golongan B40 dan M40 yang tidak terpinggir dengan peruntukan lebih RM450 juta bagi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada mereka.
“SKAS bagi membolehkan kira-kira 850,000 rakyat Sarawak membeli barangan keperluan dari kedai berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bersama Komuniti Semarak Ramadan 2025 di Sundar, di sini.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, peranan UKAS semakin meluas dalam menyalurkan informasi yang sahih mengenai dasar-dasar kerajaan Sarawak.
“Ini terutamanya kepada masyarakat luar bandar yang memerlukan maklumat tepat berkaitan pembangunan, bantuan, pendidikan, serta inisiatif kebajikan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latif.
